Pengarah IPSC Raikan Majlis Perpisahan Staf
PULAU PINANG, 30 Mei 2025 – Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC), Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd, telah meraikan Majlis Perpisahan bagi menghargai perkhidmatan Encik Mohamad Haziem Aieman Hanafi yang berlangsung di Foyer IPSC pada jam 4.30 petang.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat bakti Encik Haziem sepanjang tempoh perkhidmatannya di IPSC. Dalam ucapan beliau, Profesor Dr. Saidatulakmal menzahirkan rasa terima kasih atas dedikasi Encik Haziem yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada pusat ini.
“Terima kasih atas perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan sepanjang berkhidmat di IPSC,” ujar beliau dalam nada penuh penghargaan.
Encik Haziem turut menyampaikan ucapan balas yang penuh rasa syukur dan terharu atas penghormatan yang diberikan oleh pihak pengurusan serta rakan sekerja.
Sebagai simbolik penghargaan, Profesor Dr. Saidatulakmal telah menyampaikan cenderamata istimewa kepada Encik Haziem bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau.
Majlis diteruskan dengan jamuan makan petang yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh kekeluargaan, sekali gus menambahkan seri kepada detik perpisahan yang penuh bermakna ini. Momen tersebut pastinya akan kekal menjadi kenangan indah buat seluruh warga IPSC.











