Skip to main content

BENGKEL PENGUKUHAN HALA TUJU PENDIDIKAN TINGGI 2025 (HTPT 2025) DIPERKASA PERINGKAT UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC) telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2025 (HTPT 2025) peringkat universiti pada hari Rabu, 16 April 2025, yang telah berlansung dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di Academic Lounge, Perpustakaan Hamzah Sendut.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif hala tuju baharu Pendidikan Tinggi KPT 2025 bagi memperkukuh daya saing institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pasaran kerja global.
Program ini melibatkan penyertaan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti, sekali gus mencerminkan komitmen USM dalam merangka hala tuju yang mampan, inklusif dan berdaya saing, sejajar dengan perubahan landskap pendidikan tinggi.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd, Pengarah IPSC, yang menekankan kepentingan menyemak semula keutamaan strategik universiti agar selari dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan tinggi.
Sesi bengkel diteruskan dengan perbincangan berkumpulan yang melibatkan 20 program signature di bawah Hala Tuju KPT. Setiap kumpulan, yang dianggotai oleh ahli Pengurusan Tertinggi, telah membincangkan program utama Hala Tuju KPT 2025.

Selain itu, tujuh Fokus Utama KPT 2025 turut dibincangkan secara lebih terperinci melalui kumpulan fokus yang telah ditetapkan. Pendekatan ini bertujuan memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) kekal relevan serta mampu memberi impak yang signifikan kepada masyarakat dan ekonomi negara. Setiap kumpulan telah diberikan ruang untuk mengemukakan cadangan dan strategi penambahbaikan berdasarkan dapatan perbincangan masing-masing.

Antara 7 Fokus Utama KPT 2025 adalah:
1. Penyediaan Bakat Terbaik Negara – Program ini menekankan kepada pembangunan graduan berkualiti yang berdaya saing melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, latihan industri dan peningkatan kemahiran digital.
2. Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus – KPT berusaha memperkasa tenaga akademik dengan memperkenalkan insentif kepada penyelidik berprestasi tinggi serta menjaga kebajikan warga kampus.
3. Pemindahan dan Perkongsian Ilmu – Kerjasama antara IPT dan industri akan dipergiat bagi memastikan hasil penyelidikan dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta merangsang inovasi ekonomi.
4. Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi – Bagi meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab pendidikan serantau, KPT akan memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa serta menarik lebih ramai pelajar luar negara.
5. Governan dan Kepemimpinan – Penambahbaikan tadbir urus IPT akan dilaksanakan melalui penggunaan teknologi digital dan latihan kepimpinan kepada pengurusan IPT.
6. Kemampanan Kewangan IPT – Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, KPT menggalakkan IPT menjana pendapatan sendiri melalui kerjasama dengan sektor swasta serta pelaksanaan model pembiayaan baharu.
7. Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus – Penambahbaikan infrastruktur kampus serta peningkatan teknologi digital akan terus diberi perhatian, selain menjadikan kampus sebagai kawasan hijau dan lestari.

Bengkel ini diakhiri dengan sesi pembentangan oleh setiap kumpulan fokus, yang mengetengahkan input strategik sebagai asas kepada pengukuhan daya saing universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Penganjuran bengkel ini merupakan antara inisiatif berterusan USM dalam memastikan kelestarian akademik dan kesiapsiagaan institusi menghadapi perubahan masa depan, selaras dengan visi untuk menjadi universiti transformatif bertaraf global.
 

NURUL HUDA ABDULLAH
21 APRIL 2025