Bengkel Analisa Kumpulan Fokus Penyediaan Pelan Pengurusan Risiko USM Atas Kepergantungan Pelajar China
Bengkel yang dianjurkan oleh Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC), Universiti Sains Malaysia pada 15 Ogos 2024 di Academic Lounge, Perpustakaan Hamzah Sendut adalah inisiatif penting untuk menangani kepergantungan Universiti terhadap pelajar dari China. Bengkel ini menumpukan pada pengenalpastian dan pengurusan risiko yang berpotensi timbul akibat faktor-faktor seperti perubahan dalam polisi visa, fluktuasi ekonomi, dan situasi geopolitik.
Melalui sesi perbincangan dan analisis kumpulan fokus, bengkel ini bertujuan untuk mendidik dekan dan ahli PTJ tentang risiko yang mungkin mempengaruhi operasi Universiti. Ini termasuk memastikan dekan dan ahli PTJ memahami tanggungjawab mereka dalam menguruskan risiko tersebut, sekaligus meningkatkan kesedaran tentang akauntabiliti individu dalam konteks risiko organisasi.
Bengkel ini juga merupakan langkah proaktif untuk memastikan bahawa Universiti dapat mengadaptasi strategi pengurusan risiko yang efektif bagi menghadapi sebarang perubahan dalam aliran pelajar China, sekaligus menjaga kestabilan dan keberlangsungan operasi akademik Universiti.
Turut Hadir sama Timbalan Naib Canselor, YBhg. Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat yang juga merasmikan Bengkel, serta Pegawai-pegawai Utama Universiti.