Skip to main content

Kerjasama Bersama Universitas Sumatera Utara dalam Program Kelestarian Pelancongan Berteraskan ESG

PERMATANG RAMBAI, PENAGA, 18 Mei 2026

Pusat Perancangan Institusi & Strategik (IPSC) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) dan Universitas Sumatera Utara (USU) telah menganjurkan Program Kelestarian Pelancongan Berteraskan ESG (Environmental, Social and Governance) yang melibatkan penyertaan staf IPSC, mahasiswa Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), mahasiswa Universitas Sumatera Utara (USU), serta komuniti setempat di sekitar Permatang Rambai, Penaga, Pulau Pinang.

Program ini dianjurkan dengan objektif untuk memperkukuh pemahaman serta meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap amalan kelestarian pelancongan yang berteraskan prinsip ESG merangkumi aspek alam sekitar (Environmental), sosial (Social) dan tadbir urus (Governance). Selain itu, program ini turut menjadi medium dalam mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang mampu memupuk nilai kepimpinan, memperkasa kemahiran komunikasi serta mengukuhkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan penuntut universiti.

Di samping itu, program ini juga berperanan sebagai platform strategik dalam memperluaskan jaringan kerjasama akademik dan hubungan antarabangsa bersama universiti luar negara, sekali gus memperkukuh perkongsian ilmu, kepakaran serta amalan terbaik dalam bidang kelestarian dan pembangunan komuniti.

Program yang berlangsung di Dewan Kariah Masjid Ar-Rahman, Permatang Rambai ini telah dirasmikan oleh Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, mewakili YB Dato’ Seri Reezal Naina Merican, iaitu Encik Nazli Aziz. Turut hadir bersama ialah Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd, Pengarah IPSC, Profesor Dr. Ritha F Dalimunthe, Pensyarah Fakultas Ekonomi dan Bisnis USU dan Encik Zahir Jamaludin, Pengerusi Masjid Ar-Rahman Permatang Rambai.