PROGRAM KELESTARIAN PELANCONGAN BERTERASKAN ESG
TELUK KUMBAR, 11 Jun 2025
Seramai 26 orang pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dari Kursus SEU338E: Ekonomi Pelancongan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah melaksanakan Program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertemakan “Meningkatkan Kelestarian Pelancongan melalui Pendekatan ESG dan Kesejahteraan Komuniti” yang berlangsung di Surau An-Nur, Kampung Nelayan Teluk Kumbar, Pulau Pinang dari jam 10.15 pagi hingga 1.00 petang hari ini.
Program ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Pusat Pengajian Kemasyarakatan USM, Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC) USM dan komuniti Kampung Nelayan Teluk Kumbar yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta amalan pelancongan lestari, berasaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG), selain memperkasa kesejahteraan komuniti.
Pelaksanaan program ini juga menjadi medium pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti kepada penduduk setempat, khususnya dalam memperkukuh sektor pelancongan komuniti.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuk:
• Bengkel Minyak Wangi Mesra Alam: Peserta didedahkan kepada teknik menghasilkan minyak wangi menggunakan bahan semula jadi yang mesra alam.
• Seminar Aplikasi Media dan Publisiti: Komuniti diberi pendedahan mengenai penggunaan media digital dan tradisional untuk mempromosikan produk serta destinasi pelancongan tempatan.
• Kursus Sokongan Pemasaran: Pelajar USM berkongsi strategi pemasaran berkesan untuk produk pelancongan komuniti bersama penduduk kampung.
• Kempen Advokasi Amalan 3R+2R: Program kesedaran pengurangan sisa berasaskan prinsip Reduce, Reuse, Recycle, Recover dan Replant.
• Sesi Temu Bual Bersama Nelayan Tempatan: Perkongsian pengalaman, cabaran serta peranan nelayan dalam memelihara sumber laut dan menyumbang kepada pelancongan komuniti.
Menurut Ketua Projek SEU338E, Saudara Tan Soon Yan, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami peranan pelancongan dalam pembangunan mampan serta memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi awam dan masyarakat luar kampus. Pihak komuniti menyambut baik usaha ini yang dilihat memberikan pendedahan berkaitan kelestarian pelancongan dan mampu memacu pembangunan ekonomi setempat secara lestari, sejajar dengan pemeliharaan alam sekitar.
Program ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kerjasama antara institusi pengajian tinggi awam dan komuniti dalam memperkasa pelancongan lestari di Malaysia.
Turut hadir dalam program ini ialah:
• YBhg. Dato' Profesor Emeritus Dr. Muhammad Idiris bin Saleh (Pengerusi Qaryah Masjid Maqbul Teluk Kumbar),
• Encik Mohd Suhairi bin Ahmad Hifni (Setiausaha Surau An-Nur, Kampung Nelayan Teluk Kumbar),
• Ts. Dr. Mohamed Azlan bin Ashaari (Timbalan Pendaftar, Seksyen Pengurusan Risiko & Pentadbiran, Pusat Perancangan Institusi dan Strategik [IPSC], mewakili Pengarah IPSC, Profesor Dr. Saidatulakmal binti Mohd), serta
• Wakil komuniti Kampung Nelayan Teluk Kumbar.